Assalamu’alaykum warah matullahi wabarakatuh.


Saudara Saudari dalam Islam yang dikasihi,


Semoga Allah SWT tingkatkan keimanan, kesabaran dan kesihatan kita semua.


Dalam lembaran ini, kami ingin mengingatkan diri kami dan semua jamaah Muslimin dan Muslimat agar mengutamakan perkara-perkara penting. Elakkan daripada membangkitkan atau mengfokuskan isu-isu yang kecil sehingga menyebabkan masalah-masalah dan kelemahan besar tidak dapat diatasi dengan baik.


Sedihnya, para Muslim gagal menangani dan mengabaikan perkara-perkara asas yang dikehendaki oleh Islam. Walaupun perkara-perkara kecil lain adalah penting, tetapi Allah tidak akan menyoal hambaNya mengenai hal-hal tersebut. Kita mesti mendalami perkara-perkara asas supaya agama dan iman menjadi lebih teguh dan menjadi teladan yang baik kepada keluarga dan rakan-rakan.


Apabila kita mengabaikan perkara-perkara asas, akhirnya masalah hidup kita bertambah rumit, perhubungan sesama ummah semakin lemah dan ukhwah Islamiyah hilang. Akhirnya, hilang kekuatan kita dan kita gagal menjadi khairun ummah dan contoh yang baik kepada orang lain, khususnya masyarakat belum Islam.


Untuk mengatasi segala salah faham, kekeliruan dan kelemahan kita marilah kita sama-sama ikhlaskan diri untuk mencari ilmu yang benar-benar mendatangkan manfaat kepada kita kerana Nabi (pbuh) juga telah ingatkan kita supaya berdoa kepada Allah dengan doa, yang maksudnya: “ Ya Allah, tambahlah kepada kami ilmu yang bermanfaat (berfaedah) dan jauhilah kami dari ilmu yang tidak bermanfaat.”


Di sini kami ingin mengingatkan kembali pada setiap pencinta ilmu – menurut adab mencari ilmu kita mesti mencari ilmu yang diwajibkan atas kita untuk diamalkan. Contohnya, ilmu fardhu ‘ain lebih penting dari ilmu fardhu kifayah. Semenjak kebelakangan ini, banyak majlis-majlis ilmu seperti Bahasa Arab, tajweed, sejarah, tasawuf, ekonomi islam, siasah dan ceramah-ceramah umum (conferences) dan kursus-kursus pendek yang mengandungi tajuk-tajuk umum sangat popular di kalangan masyarakat kita.


Namun demikian, ini membuatkan yang berilmu dan penuntut ilmu lupa akan kepentingan ilmu asasi yang dituntut oleh Allah dan Nabi-Nya. Lihat saja bagaimana Allah mewahyukan Al-Qur’an kepada Nabi (pbuh), mengikut keadaan dan keperluan yang ada kaitan dengan isu-isu semasa.


Maksudnya, kita perlu mencari ilmu yang boleh mendisiplinkan kita tentang bagaimana hendak menunaikan kewajiban kita kepada Allah. Pertama, seperti solat lima waktu: adab solat bersendirian, adab solat berjamaah, adab seorang imam, adab orang yang masbuq dalam solat, dan cara-cara menyempurnakan solat yang cacat dengan adanya sujud Sahwi. Ini sangat penting kerana ini ada kaitannya dengan ibadat harian kita. Amat rugilah kalau kita tidak mengambil berat atas isu-isu yang tersebut di atas.


Kedua, tanggungjawab kita terhadap ibu bapa: bagaimana untuk berbakti kepada mereka, memuliakan, bercakap dan mengutamakan ibu bapa. Ketiga, tanggungjawab seorang pekerja terhadap majikannya. Keempat, tanggungjawab suami dan isteri dalam sebuah rumahtangga. Kelima, tanggungjawab bapa kepada anak-anak. Keenam, tanggungjawab kita terhadap masyarakat: jiran tetangga dan masyarakat umum dalam menjalankan amal ma’ruf nahi mungkar supaya masyarakat hidup aman, bahagia dan selamat. Juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar, seperti menjaga kebersihan.


Seperti dalam Surah Isra’ 17: 23, yang bermaksud:


Secara ringkas, cara paling mudah untuk memperoleh ilmu-ilmu asasi yang tersebut di atas ialah dengan banyak bertanya kepada ustaz-ustaz atau ulamak-ulamak tentang ilmu-ilmu asasi yang penting untuk kita amalkan dengan segera. Ertinya bertanyalah kepada guru-guru sebagaimana sahabat Nabi (pbuh) suka bertanya kepada Nabi (pbuh) tentang amalan-amalan yang penting dan disukai Allah supaya mereka dapat melaksanakan ilmu itu dengan segera dan mudah. Tanpa bertanya, guru-guru agama tidak tahu apa yang kita tidak tahu. Tepuk dada tanya selera – hanya kita yang tahu kelemahan diri dan ilmu sendiri.


Masalahnya, umat-umat memang menyedari kepentingan mengukuhkan ilmu asasi, tetapi mereka mengambil ringan atau bersikap acuh tak acuh. Lebih teruk lagi, mereka hanya mementingkan diri sendiri, dan akibatnya tidak akan memperbaiki sikap dan perbuatan masing-masing walaupun berilmu.


Zaman ini, umat sangat sibuk melayani kelas-kelas terkini. Akibatnya, kelas-kelas ini dijadikan seperti ruang bergaul dan tempat bersosial. Selepas menghadiri kelas-kelas ini, adakah kita membuat perubahan kekal untuk menjadi insan yang lebih baik? Adakah kami berubah menjadi suami-isteri, ibubapa, pekerja dan majikan yang lebih berkualiti?


Bila ilmu asas itu tidak ditanam, semakin banyak ilmu yang dikutip semakin bertambahlah kekeliruan. Apabila ilmu asasi lemah, umat Islam menjadi keliru kerana mereka tidak tahu kepada siapa mereka harus bertanya dan berpedoman. Akhirnya, umat membazir masa kerana mereka melupai perkara-perkara asas yang penting. Maka, jangan bazir masa. Kukuhkan ilmu asas dan berpedomanlah dengan ustaz atau guru agar usaha-usaha mengejar ilmu dimanfaatkan dengan betul dan dijadikan pemangkin untuk berubah menurut pandangan Islam.


Oleh: Sheikh Hussain Yee, Presiden Pertubuhan Al-Khaadem


>Hulurkan sokongan anda di sini.